Keris Taming Sari Hang Tuah

Taming Sari adalah nama seorang pendekar Jawa dalam kerajaan Majapahit seperti yang tersebut di dalam Hikayat Hang Tuah. Menurut hikayat ini, Taming Sari adalah seorang panglima yang paling handal di Majapahit ketika itu, dan beliau telah ditugaskan oleh Bendahara Majapahit, Patih Gajah Mada untuk membunuh Hang Tuah.
Taming Sari dikatakan seorang yang kebal tidak dapat dicederakan oleh senjata. Bagaimanapun, kekebalannya adalah terletak pada keris yang digunakannya. Hang Tuah pula pada masa itu telah berguru kepada seorang ahli pertapaan Jawa bernama Sang Adi Putera. Gurunya itu telah memberitahu akan kelemahan Taming Sari. Oleh itu, pada hari pertarungan antara kedua pendekar ini di hadapan Sultan Melaka dan Betara Majapahit, Hang Tuah telah berjaya merampas keris Taming Sari dan menggunakan keris itu untuk menikamnya hingga mati.
Sebagai menghargai kejayaan Hang Tuah itu, Betara Majapahit telah menganugerahkan keris itu kepada Hang Tuah. Keris ini dikenali sebagai “Keris Taming Sari” dan telah dibawa pulang ke Melaka. Keris yang sama juga telah digunakan oleh Hang Jebat untuk menderhaka Sultan Melaka. Hang Jebat juga dikatakan kebal kerana memiliki keris Taming Sari. Dalam pertarungannya yang terakhir dengan Hang Tuah, keris Taming Sari telah berjaya dirampas semula oleh Hang Tuah yang kemudiannya menikam mati Hang Jebat.
Keris ini adalah Keris Kerajaan bagi jawatan Laksamana Melaka, yang terakhir sekali dijawat dan dipegang oleh (Bendahara) Hang Tuah. Keseluruhan sarung keris ini diseliputi oleh dedaun emas. Keris ini dihargai sebagai berkeupayaan untuk berlegar di udara ke mana-mana haluan dalam mengejar musuh.
Adalah dikatakan bahawa Hang Tuah memberi keris ini kepada Tun Mamat untuk dibawa balik menghadap Sultan pada masa itu kerana beliau terlalu malu untuk menghadap sendiri Kebawah Duli Sultan kerana gagal mendapat Puteri Gunung Ledang untuk mengahwini baginda.
Tatkala Sultan Mahmud Shah meninggalkan Melaka, baginda membawa keris ini bersama-sama baginda ke Kampar, Sumatera pula. Kemudian baginda mengurniakan keris ini kepada anakanda baginda Raja Mudzafar Shah yang kemudiannya berangkat ke Perak (Darul Ridzuan) dan ditabalkan sebagai Sultan Perak yang pertama.

Perigi Hang Tuah

Perigi Hang Tuah yang terletak di Kampung Duyong dikatakan digali oleh Hang Tuah untuk kegunaannya sendiri semasa beliau membesar di kampung tersebut.
Pada asalnya perigi ini adalah kecil, tetapi lama-kelamaan menjadi besar dan dalam. Perigi ini dikatakan tidak kering, walaupun di musim kemarau dan airnya dikatakan sentiasa jernih dan dapat menyembuhkan penyakit.
 Ada juga cerita bahawa perigi ini tempat tinggal roh Hang Tuah yang menjelma sebagai seekor buaya putih. Ia dikatakan bahawa orang biasa tidak dapat melihat buaya ini dan hanya orang-orang alim sahaja yang dapat melihat jelmaan ini.

Keturunan Hang Tuah



Walaupun Hang adalah satu nama keluarga Cina, Hang juga adalah satu gelaran kepada orang Melayu zaman dahulu, seperti Tuan, Wak dan Wan. Dalam loghat orang Melayu Kedah, Hang adalah satu panggilan yang sudah lama dipakai, dan perdana menteri kita juga menggunakannya bila berinteraksi dengan rakyat Kedah yang sering bergaul dengannya.

Dalam sejarah orang Melayu, Hang Tuah adalah anak kepada Hang Mahmud dan Dang Merduwati dari komuniti Orang Laut Bintan, satu daripada suku kaum Orang Melayu Asli, nenek-moyang kepada orang Melayu Deutero (Melayu "Melayu") seperti Sdr. Mahathir, Sdr. Anwar Ibrahim dan Sdr. Abdullah Ahmad Badawi yang kita hormati.

Ayah Hang Tuah adalah batin kepada Orang Laut Bintan, dan seorang panglima perang Sultan Iskandar Shah, sultan Melaka yang pertama (baginda yang bergelar Parameswara atau Permaisura sebelum beragama Islam). Hang Mahmud terlibat dalam pembukaan negeri Melaka oleh Sultan Iskandar, yang sebelum itu bersemayam di Kelang, Palembang, Singapura dan Muar, sebagai maharaja empayar Sri Vijaya atau Selangor Tua.

Empayar Sri Vijaya adalah negara yang merentasi Selat Melayu atau sekarang dipanggil Selat Melaka. Ia didirikan oleh Orang Laut Kelang seawal abad ke-2, dan berpusat di beberapa ibu negara, seperti Kelang, Kuala Selangor, Siak Sri Indrapura, Jambi, dan Palembang. Negara ini juga dipanggil Selang Ur (Selangor) iaitu negeri Orang Selang (atau Orang Selat). Orang Selat adalah orang yang memanggil dirinya sebagai Orang Melayu sempena bukit tempat istana raja mereka didirikan.

Hang Mahmud, selain berdarah Orang Laut Bintan, juga berdarah Orang Laut Sulawesi, iaitu Orang Bugis. Keluarga diraja Bugis selalu berdagang dengan keluarga diraja Melayu Sri Vijaya, dan putera raja Bugis berkahwin ke dalam keluarga batin Orang Laut Bintan, yang memimpin angkatan laut Sri Vijaya dan Melaka. Jadi, Hang Tuah melalui bapanya berdarah raja Bugis. Begitu juga sahabat karibnya Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu. Mereka adalah anak-anak saudara Hang Mahmud.

Orang Bugis adalah golongan Melayu Asli Borneo (nama betul pulau itu adalah Brunei sempena suku kaum Brunei yang paling berkuasa dan mendirikan negara mereka sendiri). Mereka dan juga orang Melayu Asli lain yang menghuni seluruh kepulauan Melayu asalnya tinggal di pulau Brunei. Orang Melayu Asli pulau Brunei pula, berhijrah dari tanah besar Asia Tenggara, tempat asal bangsa Melayu.

Mengenai Hang Li Po, puteri dinasti Ming di China itu adalah Li Po sahaja dan panggilan Hang diberi kepadanya oleh Sultan Mansur Shah, yang mengahwininya. Hang adalah panggilan rakyat jelata yang berkhidmat untuk Sultan Melaka menerusi sistem kerah. Ini melibatkan ketua-ketua orang Asli (Melayu Proto) dan orang bukan Melayu, termasuk yang menjadi isteri muda raja-raja Melayu. Anak Sultan Mansur dengan Li Po bergelar Paduka Tun Mamat kerana dilantik sebagai pembesar yang menjaga daerah Kelang (sekarang Selangor moden), satu daripada ibu negeri kedua Melaka, selain daerah Johor.

Hang Tuah bukan pengikut Hang Li Po kerana Hang Tuah adalah menteri pertahanan atau Laksamana Melaka semasa Sultan Mansur Shah melawat negara China untuk meminang puteri Li Po. Hang Tuah mengiringi Sultan Mansur Shah ketika melawat negara China kerana dia adalah Laksamana Melaka, yang anggota tenteranya adalah Orang Laut Bintan

Mengenai Hang Jebat, dia tidak menderhaka kepada raja dalam erti kata yang sebenar. Hang Jebat memberontak kerana Sultan Ma sur Shah melawat negara China untuk meminang puteri Li Po. Hang Tuah mengiringi Sultan Mansur Shah ketika melawat negara China kerana dia adalah Laksamana Melaka, yang anggota tenteranya adalah Orang Laut Bintan

Mengenai Hang Jebat, dia tidak menderhaka kepada raja dalam erti kata yang sebenar. Hang Jebat memberontak kerana Sultan Mansur Shah menghukum bunuh Hang Tuah, yang difitnah oleh ejen Siam, musuh tradisi Melayu Melaka. Bapa saudara Sultan Mansur, Bendahara (Ketua Menteri) Tun Perak, yang menjadi orang kuat Melaka yang sebenar, tahu bahawa Hang Tuah tidak berzina dengan isteri raja. Dia menyembunyikan Hang Tuah di Kelang. Tun Perak telah menasihati Sultan Mansur Shah berangkat bersama keluarganya dan pembesar lain ke Kelang semasa Hang Jebat menguasai Melaka. Di sana, Tun Perak telah membawa Hang Tuah mengadap sultan, dan sultan telah mengampunkan Hang Tuah.

Pengunduran sultan Melaka ke ibu negeri keduanya, Kelang, adalah satu taktik strategik yang dirancang oleh Tun Perak yang bijak. Tun Perak adalah pakar perang secara pengunduran strategik, satu taktik yang berjaya menangkis serangan Siam ke atas Melaka dan Johor. Dari Kelang, Tun Perak, Hang Tuah dan Sultan Mansur telah mengumpulkan tentera-tentera dari negeri-negeri naungan Melaka seperti Kedah, Kelantan, Siak, Minangkabau dan Mandahiling. Tentera ini telah mengalahkan Hang Jebat yang mentadbir Melaka sebagai "wakil raja". Hang Jebat telah ditangkap oleh Sultan Melaka dan dihukum bunuh. Tetapi Sultan Melaka telah membenarkan Hang Jebat, yang pernah berjasa kepadanya, memilih cara hukuman.

Hang Jebat telah meminta supaya orang yang paling kuat dan berani di empayar Melaka bertikam keris dengannya. Akibatnya, Hang Tuah, yang disangka mati, telah dihantar oleh sultan untuk bertarung dengan Hang Jebat.

Kita tidak akan tahu sama ada Hang Tuah benar-benar membunuh Hang Jebat. Atau adakah Hang Tuah membunuh seorang penjahat dan mengatakan kepada Sultan dan Bendahara bahawa Jebat telah mati. Disebabkan Hang Tuah adalah sahabat baik Tun Perak, dan Tun Perak adalah orang yang paling kuat di Melaka, Hang Tuah mungkin telah melepaskan Hang Jebat dan membunuh seorang penjahat.

Sejarah Melayu yang ditulis oleh cicit Tun Perak, Tun Seri Lanang, sebenarnya banyak memburukkan imej raja dan pembesar Melaka yang awal, seperti Sultan Mansur, Hang Tuah dan Tun Perak. Tun Seri Lanang berkhidmat sebagai bendahara semasa Empayar Melaka berpindah pusatnya ke Johor, dalam abad ke-16. Empayar itu, yang digelar Empayar Johor-Riau-Selangor-Pahang, sempena empat ibu negaranya, banyak dipimpin oleh raja yang lemah, dan pembesar yang rasuah dan zalim.

Hang Tuah

Hang Tuah ialah seorang pahlawan legenda berbangsa Melayu pada masa pemerintahan Kesultanan Melaka di abad ke-15 (Kesultanan Melayu Melaka) bermula pada 1400-1511 A.D. )[1] Menurut rekod sejarah, beliau lahir di Kampung Sungai Duyong, Melaka kira-kira dalam tahun 1444 A.D. Bapanya bernama Hang Mahmud manakala ibunya pula ialah Dang Merdu Wati. Bapanya juga pernah menjadi hulubalang istana yang handal suatu ketika dulu, begitulah juga ibunya yang merupakan keturunan dayang di istana. Hang Tuah ialah Laksamana yang terkenal dengan kesetiaannya kepada Raja dan merupakan petarung silat yang amat handal dan tiada tolok bandingnya.
Hang Tuah dan empat orang kawannya: Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu menuntut ilmu bersama Adiputra di Gunung Ledang. Selesai menuntut ilmu, mereka berlima kembali ke kota Melaka.
Pada suatu hari, mereka berjaya menyelamatkan Dato' Bendahara (iaitu Perdana Menteri) daripada seorang lelaki yang sedang mengamok. Dato' Bendahara kagum dengan ketangkasan mereka dan menjemput mereka semua ke rumahnya dan seterusnya mengambil mereka untuk bertugas di istana.
Sejak itu Hang Tuah dan sahabat-sahabatnya amat disayangi oleh Sultan hinggalah Hang Tuah mendapat gelar Laksamana. Semasa mengiringi Sultan Melaka ke Majapahit di tanah Jawa, Hang Tuah telah berjaya membunuh seorang pendekar Jawa bernama Taming Sari. Dalam pertarungan itu Taming Sari, seorang pendekar yang kebal yang tidak dapat dilukakan. Tetapi Hang Tuah mengetahui bahawa kekebalan Taming Sari terletak pada kerisnya. Oleh itu Hang Tuah berjaya merampas keris berkenaan dan membunuh Taming Sari. Keris itu kemudiannya dianugerahkan oleh Betara Majapahit kepada Hang Tuah. Pemilik keris ini akan turut menjadi kebal seperti pendekar Jawa Taming Sari.[perlu rujukan]
Hang Tuah telah diutuskan ke Pahang bagi mendapatkan Tun Teja untuk dijadikan permaisuri Sultan Melaka. Ketika Hang Tuah ke Pahang, Melor turun dari Gunung Ledang mencari Hang Tuah. Melor telah ditawan oleh Tun Ali atas hasutan Patih Karma Vijaya bagi dijadikan gundik Sultan. Atas muslihat Tun Ali juga, Hang Tuah yang kembali dari Pahang akhirnya dapat berjumpa Melor, tetapi Sultan juga turut menyaksikan perbuatan Hang Tuah itu. Melor dan Hang Tuah dihukum bunuh kerana difitnah berzina dengan Melor yang telah menjadi gundik Sultan. Namun, hukuman mati tidak dilaksanakan oleh Bendahara sebaliknya Hang Tuah disembunyikannya di sebuah hutan di Hulu Melaka.
Hang Jebat telah dilantik oleh Sultan menjadi Laksamana menggantikan Hang Tuah dan keris Taming Sari telah dianugerahkan kepada Hang Jebat. Hang Jebat sebagai sahabat karib Hang Tuah, menyangka bahawa Hang Tuah telah teraniaya dan telah menjalani hukuman mati. Hang Jebat (menurut Hikayat Hang Tuah) atau Hang Kasturi (menurut Sejarah Melayu), bertindak derhaka kepada Sultan dan mengambil alih istana. Tidak ada pendekar atau panglima di Melaka yang dapat menentang Hang Jebat (atau Hang Kasturi) yang telah menjadi kebal kerana adanya keris Taming Sari di tangannya.
Sultan Mahmud terpaksa melarikan diri dan berlindung di rumah Bendahara. Pada masa itu baginda baru menyesal kerana membunuh Hang Tuah yang tidak bersalah. Inilah masanya Bendahara memberitahu yang Hang Tuah masih hidup. Hang Tuah kemudiannya telah dipanggil pulang dan dititahkan membunuh Hang Jebat. Setelah tujuh hari bertarung, Hang Tuah akhirnya berjaya merampas semula Taming Sarinya daripada Hang Jebat dan membunuhnya.
Dalam pertarungan yang sedih ini, Hang Jebat telah cuba membela sahabatnya yang telah difitnah. Namun begitu, Hang Tuah telah membantu sultan yang sebelum itu menghukumnya tanpa sebarang alasan. Sedangkan Abu Bakar Siddiq R.A juga berkata kepada orang Muslim bahawa jika dia bersalah, rakyat boleh menjatuhkannya. Ternyata, kesilapan Hang Tuah yang tidak berfikir bahawa Allah S.W.T lebih berkuasa dari sultan dan memang tidak salah Hang Jebat cuba menegakkan kebenaran. Tragedi ini masih menjadi perbalahan orang melayu sampai sekarang.
Namun begitu, ada juga yang menyokong Hang Tuah. Ini kerana Hang Jebat bukan saja derhaka kepada sultan bahkan telah membunuh ramai orang/rakyat Melaka yang tidak berdosa dengan mengamuk di dalam istana dan seluruh Melaka. Tindakan Hang Tuah yang membunuh Hang Jebat mungkin satu tindakan yang berupa hukuman mati terhadap pembunuh.
Sumpah yang terkenal daripada Hang Tuah ialah "Tak Melayu hilang di dunia" yang bererti bangsa Melayu tidak akan punah di bumi ini.